Kaherah – Sebuah mahkamah Mesir mengharamkan Ikhwanul Muslimin daripada bergerak dan mengarahkan asetnya dirampas, tamparan terbaru terhadap pergerakan itu selepas Mohamed Morsi digulingkan sebagai presiden oleh tentera.
“Ikhwan menggunakan agama untuk menutup aktivitinya yang bercanggah dengan ajaran sebenar Islam dan melanggar undang-undang,” kata mahkamah itu.
Tekanan ke atas Ikhwan
Mahkamah juga mengharamkan semua institusi cawangan atau milik Ikhwan, lapor agensi berita MENA, berkemungkinan merujuk kepada sayap politiknya, Parti Kebebasan dan Keadilan.
Keputusan itu meningkatkan tekanan ke atas Ikhwan sejak tentera menggulingkan Morsi pada 3 Julai lalu.
Bulan lalu, anggota keselamatan menyerbu dua khemah protes di Kaherah yang mencetuskan pertempuran menyebabkan beratus-ratus penyokong Ikhwan maut.
Sumber kehakiman berkata, mahkamah memutuskan satu jawatankuasa kerajaan patut dibentuk bagi menguruskan aset Ikhwan yang dirampas.
“Mahkamah itu mengharamkan semua aktiviti Ikhwan sebagai sebuah pergerakan, cawangannya dan perge-rakannya sebagai badan bukan kerajaan,” lapor MENA.
Tuduh terbabit keganasan
Keputusan itu boleh dirayu atau ditolak mahkamah lebih tinggi.
Dibentuk pada 1928, Ikhwan diharamkan selama beberapa dekad sebelum Presiden Hosni Mubarak digulingkan pada 2011.
Calon Ikhwan kemudian menang pilihan raya Parlimen dan membawa kepada kemenangan Morsi dalam pilihan raya presiden tahun lalu.
Kini, kerajaan sokongan tentera menuduh Ikhwan terbabit dalam keganasan.
- AFP
0 komentar:
Posting Komentar