KUANTAN : Seorang banduan yang baru dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah bertindak agresif dengan bergelut dan menendang anggota polis yang mengiringinya menyebabkan kereta polis yang mereka naiki terbabas dan merempuh belakang sebuah lori.
Kejadian pada pukul 11.45 pagi di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid di sini itu menyebabkan tiga anggota polis cedera parah manakala banduan itu pula berjaya melarikan diri.
Anggota polis yang cedera ialah pemandu kereta polis, Konstabel Filyx Lansaver Jinol, 25, Koperal Zulhairi Ramli, 24, dan Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusuff berkata, ketika kejadian, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953. Mereka bertolak dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor di sini.
“Sampai di tempat kejadian banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, tiba-tiba bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum menendang pemandu hingga menyebabkan kereta polis hilang kawalan. Kereta itu terbabas dan melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu kiri jalan menghala ke Kuantan.
“Selepas kejadian itu, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan tangan bergari menuju ke kawasan hutan berhampiran taman berkenaan,” kata beliau kepada pemberita di sini.
Menurut beliau, seorang saksi yang berada di tempat kejadian cuba mengejar banduan terbabit dan menyuruh banduan itu menyerah diri namun dia tidak mengendahkan arahan itu dan terus menghilangkan diri.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohd. Zamri Abdul Kadir, 22, yang sedang menggantikan tayar sebelah kiri lorinya yang pancit di situ turut mengalami kecederaan di betis kiri akibat rempuhan kereta polis yang membawa banduan itu.
“Polis kini membuat sekatan jalan di sempadan daerah Kemaman, Maran, Temerloh dan Pekan bagi memburu banduan terbabit,” kata beliau.
Polis pada pukul 10.25 malam tadi berjaya memberkas semula banduan itu ketika penjenayah terbabit pergi ke rumah penduduk di Taman Dato Rashid untuk meminta air dengan tangan masih bergari.
Banduan yang berasal dari Terengganu itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berkuat kuasa pada 28 Jun lepas. – Kosmo
0 komentar:
Posting Komentar